Tuesday, July 27, 2010

Guru gred 41 hingga 48 dibenar terlibat dalam politik

KUALA LUMPUR 27 Julai - Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad,” kata Mohd Sidek.

Beliau berkata, syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya, mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik. - Bernama

Monday, July 26, 2010

Falsafah di sebalik pemansuhan UPSR

PENGGUBALAN apa juga sistem dan proses dalam pendidikan memang dibenarkan. Hal ini kerana Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tidak mengehadkan seseorang pelajar untuk membuat apa, menjadi apa atau bersikap bagaimana ketika berada dalam sistem.

Asalkan pelajar boleh menyesuaikan diri mereka dengan pelbagai perubahan yang berlaku sepanjang hayat mereka, maka sistem dibenarkan untuk berubah.

Guru perlu tahu dan faham akan hal ini kerana kebanyakan yang kurang senang dengan cadangan itu, khabarnya ialah mereka - para guru sendiri.

Sebenarnya, kita tidak perlu bimbang akan keselesaan dan kesenangan yang kita kecapi selama ini akan tergugat kalau yang kita fikirkan ialah masa depan anak-anak kita dan negara.

Jadi, bila ada cadangan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya tidak ada alasan untuk membuat bantahan kerana sistem pendidikan kita terbuka kepada perubahan yang dinyatakan dalam FPK.

Namakan apa sahaja - evolusi, revolusi, penambahbaikan - tujuannya adalah sama, menyediakan anak-anak kita dengan perubahan yang bersesuaian dengan zamannya nanti.

Memang tidak ada yang kekal di muka bumi Allah ini kecuali perubahan. UPSR bukan makalah wahyu yang tidak boleh diubah semata-mata ia telah dilaksanakan lebih daripada 15 tahun.

Secara asasnya, FPK - daripada dahulu sehingga sekarang - ialah pembangunan modal insan bermatlamat memperkembang potensi individu secara menyeluruh, untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi.

Hal ini bertujuan untuk melahirkan pekerja yang berilmu dan berketrampilan dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif bagi memenuhi keperluan negara untuk mencapai kecemerlangan dalam ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau jargon semasa, k-ekonomi.

Oleh itu, asas kepada perubahan ini terletak kepada beberapa perkara dan semua orang perlu bersikap terbuka - bukan sahaja masyarakat, tetapi juga guru, para pegawai kementerian, penggubal dasar dan sebagainya.

Kita juga sering mendengar rungutan tentang sikap segelintir pegawai di dalam kementerian yang beria-ia benar hendak mempertahankan kurikulum sedia ada, kononnya yang terbaik - sehingga menutup pintu kepada cadangan oleh pihak luar yang mungkin lebih profesional dan semasa sifatnya.

Parameter pertama di bawah FPK yang perlu mengalami perubahan ialah penyediaan kurikulum yang lebih relevan. Kurikulum perlu diubah suai mengikut keperluan semasa supaya murid memperolehi pengetahuan terkini, mengikuti perkembangan sosial dan menguasai kemahiran yang bernilai dari segi ekonomi.

Kedua ialah penyediaan sistem penyampaian yang berkesan - Sistem penyampaian yang berkesan akan meluaskan pengalaman murid kerana mereka dapat maklumat daripada pelbagai punca maklumat di seluruh dunia dengan menggunakan teknologi yang canggih seperti ICT. Sistem ini juga membolehkan pembelajaran kendiri dilaksanakan.

Ketiga ialah penekanan kepada pendidikan agama dan moral. Peningkatan kepada salah laku dalam kalangan pelajar sekolah dan gejala sosial dalam masyarakat memerlukan penerapan nilai agama dan moral pada semua peringkat pendidikan diperkukuh dan memastikan nilai baik dapat dihayati dalam semua aspek kehidupan.

Sebagai tambahan, pemupukan semangat patriotik perlu dipupuk melalui semua mata pelajaran. Pemupukannya juga dapat dilakukan melalui aktiviti kokurikulum dan khidmat masyarakat.

Pemupukan semangat patriotisme bertujuan untuk melahirkan murid yang mempunyai semangat cinta- kan negara dan berbangga sebagai rakyat Malaysia. Selain pembangunan insan, pendekatan strategik juga seharusnya berfokus kepada pembangunan sumber pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan.

Setelah memahami kandungan FPK, marilah kita bertanya, sama ada UPSR - juga peperiksaan awam lain - telah mencapai gagasan membangunkan modal insan yang kita impikan itu.

Kalau belum, mengapa tidak kita ganti sahaja dengan yang lain. Mungkin perubahan dalam sistem pendidikan kelak umpama banjir besar - menghanyutkan terus sistem lapuk dan orang yang enggan berubah di dalam laluannya.

Monday, July 19, 2010

Pendidikan untuk kanak-kanak bukan warganegara tanpa dokumen pengenalan

KUALA LUMPUR 20 Julai - Kerajaan akan sentiasa memastikan penyediaan dan pelaksanaan pendidikan untuk kanak-kanak tanpa dokumen dapat dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan semua kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan yang sewajarnya, tanpa mengira agama, bangsa dan lokasi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi menangkis tohmahan masyarakat antarabangsa terhadap negara ini yang menyatakan bahawa Malaysia tidak memberi pendidikan yang sewajarnya kepada kanak-kanak.

"Sehingga kini, Kementerian Pelajaran telahpun mewujudkan beberapa perkongsian pintar seperti bersama Pasukan Petugas Khas Persekutuan untuk program pendidikan 3M KAFA; Angkatan Tentera Malaysia melalui Program Jiwa Murni di Pulau Berhala, Sandakan dan Yayasan Guru Malaysia Berhad dan UNICEF.

"Justeru perkongsian pintar ini akan diperluaskan dan saya amat mengharapkan supaya agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan yang lain berminat untuk bersama-sama berganding bahu melaksanakan program pendidikan bagi kanak-kanak tanpa dokumen ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Noriah Mahat yang ingin tahu status dasar pendidikan kanak-kanak tanpa dokumen bukan warganegara dan perancangan kementerian dalam memberi pendidikan kepada kanak-kanak itu bagi mengatasi masalah buta huruf dan melaksanakan pendidikan untuk semua.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan telah mewujudkan dasar-dasar baru bagi memastikan golongan kanak-kanak tanpa dokumen mendapat pendidikan sewajarnya.

Beliau berkata, kanak-kanak warganegara yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, sebenarnya tidak menghadapi masalah untuk diterima masuk ke sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan jika memenuhi syarat yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.1/2009 bertarikh 11 Mac 2009. - Bernama