Sunday, June 12, 2011

RM3.8 bilion bantu persekolahan setiap tahun

KUALA PILAH 12 Jun - Sebanyak RM3.8 bilion dibelanjakan oleh kerajaan setiap tahun untuk bantuan persekolahan yang membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah lama melaksanakan konsep negara berkebajikan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, jumlah itu antara lain dibelanjakan untuk menampung yuran persekolahan, buku teks, makanan di asrama, Rancangan Makanan Tambahan dan Biasiswa Kecil Persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, yuran persekolahan dan buku teks dinikmati oleh semua orang tanpa mengira status dan kedudukan mereka dengan kerajaan menanggung semua perbelanjaan itu.

"Apakah ini bukan ciri-ciri negara berkebajikan, yang miskin dan kaya tidak perlu bayar yuran dan dapat buku teks percuma.

"Negara berkebajikan ini telah lama dilaksanakan oleh kerajaan BN dan kita tidak suka bercakap besar tetapi melakukannya melalui usaha dan tindakan," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Pilah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim dan Timbalannya, Datuk Hasan Malek.

Mohd. Puad menarik perhatian, setiap tahun kerajaan juga membelanjakan sebanyak RM1.8 bilion bagi membayar gaji para guru di sekolah jenis kebangsaan.

"Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat keputusan supaya kerajaan membayar bil utiliti di sekolah jenis kebangsaan sebanyak RM2,000 sebulan. Semua ini dengan jelas membuktikan negara berkebajikan bukan sesuatu yang baru tetapi sudah lama dilaksanakan oleh kerajaan BN," katanya.