PUTRAJAYA 18 Julai - Kementerian Pelajaran akan memperluaskan penggunaan Sistem Kawalan Disiplin Murid (e-Disiplin) ke 10,000 buah sekolah seluruh negara sebagai program pembangunan pendidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, sistem e-Disiplin itu dapat membantu pihak kementerian memantau kes-kes disiplin dan memantapkan pengurusan disiplin sekolah.
Menurutnya, melalui sistem itu, guru disiplin sekolah akan bertanggungjawab merekodkan setiap kesalahan yang berlaku di sekolah.
"Setelah rekod itu dimasukkan, ia akan dapat dilihat oleh pihak kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), pejabat pelajaran daerah (PPD) dan sekolah.
"Seterusnya melalui rekod-rekod tersebut, langkah-langkah intervensi akan dapat dirancang dan dilaksanakan di sekolah yang bermasalah," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan e-Disiplin di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, sebanyak 97 sekolah menengah dalam kawasan Felda mendapat sebuah komputer riba yang dilengkapi sistem tersebut.
Abdul Ghafar berkata, sistem e-Disiplin diaplikasi secara dalam talian di 317 buah sekolah sebagai projek rintis sejak 2009 hingga sekarang.
"Penggunaannya mendapat maklum balas positif daripada guru-guru dengan catatan penurunan masalah disiplin yang begitu signifikan sehingga 22 peratus," katanya.
Menurut beliau, sistem pengurusan secara profesional dan berteknologi itu dapat membantu guru-guru menilai, memantau dan mengurus disiplin pelajar dengan lebih berkesan.
No comments:
Post a Comment