Thursday, April 29, 2010

SIP: Pendidikan berkualiti tanpa kompromi

PETALING JAYA 29 April - Guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan khusus kepada mana-mana guru sekiranya kaedah pengajaran mereka kurang berkesan untuk meningkatkan prestasi pelajar.

Pendekatan itu merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) yang bermatlamat untuk memperluaskan akses kepada pendidikan yang bermutu dan berkemampuan secara konsisten.

Program Pembangunan Prestasi Sekolah yang dilancarkan hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya merupakan salah satu inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, program itu mempunyai tiga komponen utama iaitu pertama, membabitkan penarafan tahap pencapaian sekolah berdasarkan Skor Komposit Sekolah.

Menurut beliau, melalui mekanisme itu setiap sekolah akan mengetahui kedudukan masing-masing dari segi prestasi akademik murid dan kualiti pengurusan sekolah secara keseluruhan.

"Dengan adanya maklumat ini, pihak sekolah akan dapat menentukan garis mula proses peningkatan prestasi sekolah dan menetapkan sasaran yang realistik.

"Komponen kedua pula, setiap sekolah akan dibekalkan dengan tool kit pembangunan prestasi sekolah, iaitu instrumen penilaian kendiri secara talian terus yang akan membantu sekolah menilai prestasi semasa.

"Melaluinya, pihak sekolah mampu mengenal pasti bidang-bidang yang perlu ditambah baik dan menyediakan pelan penambahbaikan secara terarah," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Tambah Muhyiddin, penilaian pencapaian sekolah secara kendiri bermaksud guru besar atau pengetua dapat mengesan kelemahan murid dalam mata pelajaran tertentu.

Justeru, langkah seterusnya, kata beliau, mengenal pasti punca kelemahan tersebut dan merancang tindakan susulan bagi mengatasinya.

"Jika kelemahan itu berpunca daripada kaedah pengajaran kurang berkesan, maka guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan untuk guru-guru mata pelajaran berkenaan dan memantau perkembangannya dari masa ke semasa," katanya.

Komponen ketiga, kata Muhyiddin, dikenali sebagai service line iaitu program sokongan di mana kementerian akan memberi bantuan tambahan kepada sekolah-sekolah yang paling memerlukannya terutama sekolah berprestasi rendah.

Katanya, maklumat keperluan sekolah itu dapat dikenal pasti melalui aplikasi tool kit yang diberikan.

Bantuan itu katanya, seperti menyediakan bimbingan kepada pengurusan sekolah, melaksanakan program pembinaan keupayaan guru dan membekalkan alat bantuan mengajar tambahan mengikut keperluan.

"Keunikan program ini ialah pihak sekolah tidak akan dibiarkan bersendirian dalam usaha untuk melonjakkan prestasi dan mengatasi kelemahan masing-masing," katanya.

Jelas Muhyiddin, SIP tidak bermaksud menggantikan sebarang bentuk program pembangunan prestasi sekolah sedia ada, tetapi ia berfungsi sebagai pelengkap kepada usaha-usaha murni yang sedang dilaksanakan.

"Saya berharap SIP akan merapatkan jurang pencapaian antara sekolah terutama bandar dan luar bandar,'' katanya.

Saturday, April 17, 2010

Minggu Tidak Menonton TV

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) akan mengadakan kempen 'Minggu Tidak Menonton Televisyen' di seluruh negara dengan menyasarkan golongan muda, pada 21 hingga 27 April ini.

Penyelaras Kempen Konsumer Kebangsaan (3K) Fomca, Datuk Paul Selva Raj, berkata usaha itu dilakukan berikutan kajian mendapati, kanak-kanak menghabiskan masa antara tiga hingga lima jam sehari menonton televisyen, sekali gus membawa kepada gaya hidup tidak sihat.

“Dalam kajian pada 2005 membabitkan penggunaan peralatan berskrin termasuk televisyen, komputer dan telefon bimbit mendapati aktiviti masa lapang golongan muda ialah 87 peratus melayari internet, 73 peratus menonton televisyen, 42 peratus bermain permainan video dan 36 peratus menulis blog.

“Keseluruhannya, kesan negatif rentetan daripada masalah ini membawa kepada peningkatan masalah kegemukan, berat berlebihan serta diabetes yang membahayakan kesihatan jika tiada perancangan melakukan aktiviti lain bagi menggantikan masa menonton televisyen,” katanya di sini, semalam.

Semua pihak diminta mengurangkan penggunaan peralatan berskrin sebaliknya lebih banyak melakukan aktiviti aktif sebagai tanda menyokong kempen itu.

Risalah Minggu Tidak Menonton Televisyen diedarkan di Lembah Klang dan bandar utama manakala, pada hari terakhir kempen Fomca mengadakan sesi berkongsi pengalaman aktiviti apabila tidak menonton televisyen.

Sehingga kini katanya, sebanyak 5 tadika di seluruh negara menyatakan kesediaan mengambil bahagian dalam kempen ini.

Sunday, April 4, 2010

Rumah kabin ganti bilik di bawah kelas

Selesai masalah kediaman guru SK Long Lutin

KUCHING: Kementerian Pelajaran akan membina rumah kabin sebagai kediaman empat guru termasuk sepasang suami isteri di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lutin, Ulu Baram, yang terpaksa tinggal di bawah bilik darjah di sekolah berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata beliau akan menemui Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan mengemukakan cadangan bagi mengeluarkan peruntukkan kecemasan untuk membina rumah guru kabin itu.

Beliau berkata pembinaan rumah guru kabin dengan kos kira-kira RM100,000 seunit adalah pendekatan berkesan untuk menyelesaikan masalah kediaman guru itu dengan segera.

Saya amat terkejut apabila terbaca laporan akhbar mengenai nasib guru di SK Long Lutin itu dan lebih mengejutkan apabila masalah kediaman guru itu berlarutan sejak tiga tahun yang saya rasa tempoh terlalu panjang dan cukup mencabar bagi guru terbabit.

Saya akan meminta Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak supaya mengemukakan laporan segera berhubung masalah itu, katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas laporan nasib guru berkenaan yang terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit berukuran enam meter panjang dan tiga meter lebar dengan ketinggian hanya dua meter kerana kediaman guru sedia ada tidak mencukupi.

Sambil menyuarakan rasa kagumnya terhadap pengorbanan guru berkenaan, Mohd Puad turut mengakui masih banyak yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah kediaman guru di kawasan pendalaman dan pihaknya memerlukan maklumbalas daripada pelbagai pihak untuk mengesan sebarang masalah yang perlu diberi keutamaan.
Dalam hal ini (SK Lutin), saya hanya mengetahui masalah itu daripada laporan akhbar yang jelas mendedahkan masalah yang dihadapi guru terbabit.

Jika masalah seperti ini berlarutan, kita akan terus menghadapi kesukaran untuk menghantar guru ke pedalaman, katanya.

Friday, April 2, 2010

Timbalan Perdana Menteri Tiba Di Kelantan Untuk Lawatan Kerja Sehari

MACHANG, 3 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini pada hari Sabtu dalam rangka lawatan kerja sehari di Kelantan.

Muhyiddin dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di Lapangan Terbang Gong Kedak, Terengganu pada pukul 8.10 pagi dan menaiki helikopter untuk ke Sekolah Menengah Sains Machang di sini.

Sebaik tiba di bandar Machang, Muhyiddin bersama isteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed bertolak ke Stesen Kereta Sewa Machang untuk bersarapan bersama pemimpintempatan, NGO dan penduduk setempat di stesen berkenaan.

Selepas itu, Muhyiddin dijadual mempengerusikan mesyuarat Perhubungan Umno Kelantan manakala isterinya akan melawat Hospital Machang pada 9.30 pagi.

Muhyiddin dan isteri dijadual ke Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah 1, di sini untuk merasmikan majlis Juara Rakyat dan penyerahan bantuan wang ihsan pada 10.30 pagi.

Kedua-dua mereka kemudian akan meneruskan lawatan kerja di daerah Bachok pada sebelah petang, dimulai dengan Majlis Minum Petang bersama pemimpin tempatan di rumah rehat Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein di Perupok, Bachok.

Pada pukul 2.40 petang pula, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan tiba di Kem Tangok, Bachok bagi menghadiri program Ko-kurikulum Peringkat Kebangsaan 2010, sebelum berlepas pulang ke ibu negara pada pukul 4.40 petang.

-- BERNAMA