Wednesday, August 11, 2010

Sistem Satu Sekolah Untuk Semua

Sistem Satu Sekolah Untuk Semua perlu segera dilaksanakan bagi mengelak wujudnya generasi masa hadapan negara ini yang tidak bersatu dan hilang jati diri, sekali gus menggagalkan gagasan 1Malaysia.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang amat kecewa kerana masih terdapat kaum Cina di negara ini yang langsung tidak tahu berbahasa Melayu berkata, perkara itu amat serius dan memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.

"Mereka ini bersungguh-sungguh mempertahankan sekolah vernakular dan mahukan hak sama sebagai bangsa Malaysia tetapi pada masa sama tidak mahu pula mempelajari dan menguasai bahasa Melayu.

"Saya bukan bercakap kosong tetapi ia dibuktikan melalui laporan bahawa sepanjang gerakan Banci Penduduk dan Perumahan 2010, masyarakat Cina paling banyak menimbulkan masalah kerana tidak tahu berbahasa Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas diminta mengulas saranan seorang blogger, www.bigdogdotcom.wordpress.com supaya kerajaan menimbangkan secara serius dan mengambil tindakan politik secara berstruktur untuk mengurangkan sistem sekolah vernakular dan melaksanakan sepenuhnya sistem 'Satu Sekolah Untuk Semua'.

Di bigdogdotcom dalam tulisannya mendakwa dalam keghairahan kaum Cina lantang menuntut hak termasuk mempertahankan sistem sekolah vernakular yang menjadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar dan membelakangkan bahasa Melayu, sebenarnya masih ramai di kalangan mereka tidak boleh berbahasa Melayu, walaupun sekadar untuk perbualan.

"Ini dibuktikan apabila proses bancian yang sedang berjalan menempuh pelbagai rintangan apabila berurusan dengan kaum Cina.

"Kegagalan mereka mengunakan bahasa Melayu walaupun sekadar perbualan menyukarkan proses untuk membanci statistik sebenar negara, demi untuk perancangan ekonomi dan sosial, terutama dengan Model Baru Ekonomi yang akan diperkenalkan oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ia disahkan oleh Pesuruhjaya Banci dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof seperti yang dilaporkan oleh Bernama semalam," katanya.

Tambah penulis blog itu, apa sahaja penerapan semangat 1Malaysia akan gagal kerana asas utamanya iaitu kebolehan berkomunikasi amat penting dan kegagalan masyarakat minoriti itu menguasai bahasa Melayu, walaupun sekadar perbualan, menunjukkan jurang perbezaan antara kaum amat serius.

"Hakikatnya, golongan ini merupakan hanya 26 peratus tetapi mereka amat tegar mahukan sistem sekolah vernakular yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar diteruskan dan mereka tergamak menggunakan 'ugutan politik' untuk menentukan 'hak' mereka ini terpelihara dan makin diperluaskan.

"Sekiranya kaum Cina begitu degil mempertahankan 'budaya dan warisan' mereka dengan mengorbankan agenda negara, maka kewajaran mereka dilayan dan ditatang sebagai 'minyak penuh' adalah amat diragukan.

"Apa makna sekiranya negara maju tetapi rakyatnya berpecah belah dan hilang jati diri?," kata bigdogdotcom.

Percepat pengeluaran garis panduan peraturan sekolah


KUALA LUMPUR 11 Ogos — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) hari ini menggesa Kementerian Pelajaran mempercepatkan pengeluaran Garis Panduan Peraturan Sekolah yang baru bagi melindungi guru berikutan masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing.

Setiausaha Agongnya, Lok Yim Pheng berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat bersama Kementerian Pelajaran Malaysia, kesatuan guru, para akademik dan ibubapa pada 2007, namun, masih belum menerima maklum balas mengenainya.

"Garis Panduan Peraturan Sekolah telah dibincangkan lama dulu, tetapi sehingga kini, masih belum siap dan kami masih lagi menunggu,” katanya kepada Bernama hari ini. Bagi menangani masalah disiplin pelajar yang kian meruncing, Lok berkata pihaknya berpendapat lebih ramai guru lelaki diperlukan dan jawatan Ketua Guru Disiplin di setiap sekolah, dijadikan sebagai jawatan baru untuk kenaikan pangkat. "Bagi melayakkan diri, setiap guru dengan kelayakan DG44 boleh dinaikkan pangkat ke jawatan tersebut bagi sekolah menengah dan DG32 bagi sekolah rendah,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai persediaan, beliau berkata mereka yang ditawarkan ke jawatan itu perlu menghadiri latihan intensif dalam aspek undang-undang dan cara menangani masalah disiplin sebelum mula bertugas.

Lok juga berkata pihaknya mencadangkan agar kuasa merotan pelajar diberikan semula kepada guru bagi mengawal pelajar yang mempunyai masalah disiplin kronik. "Syarat boleh diletakkan, tetapi kuasa merotan perlu dipulangkan semula bagi memudahkan kawalan terhadap segelintir pelajar “tegar” yang kerap menimbulkan masalah di sekolah,” katanya. Beliau berkata perkara itu penting diberikan perhatian untuk melindungi golongan pendidik berdasarkan tindakan “berani” segelintir pelajar pada mutakhir ini yang mencetuskan kebimbangan.

"Sebilangan pelajar kadangkala bertindak terlalu agresif sehingga mencederakan guru, khasnya guru wanita."Minggu lepas, seorang guru diserang oleh seorang pelajar yang bertindak agresif di Sarawak,” katanya. — Bernama

Sunday, August 8, 2010

Panduan guna Internet secara selamat


Aspek keselamatan dalam penggunaan Internet kini semakin menjadi penting.-Gambar hiasan


INTERNET atau rangkaian komputer awam merupakan satu tempat yang sangat popular digunakan untuk mencari sebarang maklumat atau melakukan pelbagai transaksi dan aktiviti seharian seperti jual beli, perbankan, permohonan, semakan dan pelbagai lagi.

Teknologi Internet ini dibina dengan kaedah protokol rangkaian TCP/IP secara eksperimental oleh beberapa universiti dan agensi kerajaan di Amerika.

Tujuannya adalah untuk merangkaikan komputer secara fleksibel dan mudah tanpa mengambil kira aspek keselamatan bagi kaedah tersebut.

Dengan itu, Internet merupakan satu alat yang sangat popular, mudah dan murah digunakan untuk membuat aktiviti-aktiviti tertentu.

Namun begitu, dari segi keselamatannya ia agak longgar dan tidak terjamin kecuali pengaksesan Internet itu dibuat dengan cara-cara tertentu untuk tujuan keselamatan.

Di sini dibincangkan beberapa cara yang boleh dipraktikkan secara umum untuk akses kepada teknologi Internet secara selamat.

Secara umumnya, tidak mengira apa jenis aplikasi yang dipakai menerusi Internet, data dan transaksinya perlulah dienkripsikan kerana berkemungkinan besar.

Data-data yang diakses menerusi Internet ini boleh dicapai dengan mudah sebelum ia sampai ke destinasinya.

Jadi, sekiranya ia dapat dicapai, data-data yang dienkripsikan tadi adalah dalam bentuk yang tidak bermakna.

Penceroboh perlu melakukan pecah masuk ke dalam sistem enkripsi data itu terlebih dahulu untuk dia mengetahui apa yang terkandung dalam data-data atau paket-paket tersebut.

Sekiranya data-data atau paket-paket tersebut tidak dienkripsi, segala kandungan dan maklumat yang diperolehi oleh penceroboh tersebut adalah dalam bentuk yang nyata dan jelas.

Sebagai contoh, sekiranya ia dapat kata laluan, By32u2 , itulah data yang penceroboh itu akan dapat.

Isu keselamatan dalam capaian Internet boleh ditangani dengan tiga faktor iaitu polisi atau undang-undang, pendidikan dan perimeter atau teknikal.

Perbincangan ini akan melihat isu keselamatan capaian Internet dari segi teknikal atau perimeternya.

Kompromi akaun perbankan Internet Pengguna Servis komunikasi dan log in dalam Internet yang menggunakan protokol HTTP untuk melayari web, protokol POP3/SMTP dan IMAP untuk e-mel, protokol TELNET untuk capaian sistem komputer daripada komputer lain dan protokol FTP untuk pemindahan fail tidak dienkrip.

Ini bermakna data atau paket yang dihantar dan diterima adalah dalam bentuk teks yang nyata atau clear text.

Jadi, untuk melayari atau masuk atau log in ke dalam laman web yang sensitif terutamanya yang melibatkan transaksi wang, pastikan laman web tersebut menggunakan protokol HTTPS/SSL.

Protokol Secure Socket Layer atau SSL ini akan enkrip data yang terlibat dengan tanda-tanda seperti berikut:-

lAlamat URL web tersebut akan dimulai dengan https:// dan tidak http://.

lPelayar web pula akan melihatkan ikon kunci mangga atau ruang alamat web akan berwarna hijau atau tanda-tanda yang lain.

Penggunaan aplikasi capaian e-mel atau client seperti Outlook dan Thunderbird yang menggunakan protokol-protokol e-mel yang tidak selamat perlu ditambah baik dengan menyertakan sekali dengan protokol keselamatan SSL yang akan mengenkrip sambungan e-mel tersebut.

Namun begitu, penggunaan protokol enkrip ini perlu disokong atau dibenargunakan oleh konfigurasi pada komputer pelayan e-mel tersebut.

Sekiranya begitu, keadaannya dan sistem e-mel itu menyokong akses menerusi web, capaian e-mel boleh dibuat menerusi web dengan menggunakan protokol keselamatan HTTPS/SSL.

Bagi kemasukan ke dalam sistem komputer secara jarak jauh daripada komputer lain menerusi Internet, elakkan penggunaan aplikasi yang menggunakan protokol TELNET.

Gunakan aplikasi untuk kemudahan ini yang berupaya menggunakan protokol keselamatan SSH atau Secure Shell.

Pemindahan fail menerusi Internet seperti muat turun dan muat naik sesebuah fail adalah mudah menggunakan aplikasi FTP tetapi ia tidak selamat kerana data atau fail tersebut tidak dienkrip.

Penyelesaiannya, gunalah aplikasi pemindahan fail menerusi Internet ini yang menyokong protokol keselamatan seperti protokol SSH, SSL with FTP atau SFTP dan SCP.

Namun begitu, penggunaan protokol keselamatan dalam aplikasi pemindahan fail ini perlu disokong oleh komputer pelanggan dan komputer pelayan.

Kemudahan capaian teknologi Internet memberi banyak manfaat kepada manusia untuk menjalankan aktiviti seharian. Namun begitu, secara lalainya atau default ia tidak selamat kerana sejarah pembinaannya adalah untuk kemudahan sambungan di antara komputer-komputer tanpa memikirkan isu keselamatan.

Penggunaan apa sahaja aplikasi Internet secara selamat memerlukan penggunaan protokol-protokol keselamatan seperti SSL, SSH, IPSec dan lain-lain.

Ini kerana, protokol-protokol keselamatan ini akan enkrip data-data, paket-paket dan sambungan daripada komputer anda ke komputer lain menerusi sambungan rangkaian awam ini atau Internet.

Teknologi Internet generasi baru yang menggunakan protokol IPv6, meletakkan protokol keselamatan di dalamnya sebagai sesuatu keutamaan dalam capaiannya.

Monday, August 2, 2010

USIK - USIK