Wednesday, August 11, 2010

Sistem Satu Sekolah Untuk Semua

Sistem Satu Sekolah Untuk Semua perlu segera dilaksanakan bagi mengelak wujudnya generasi masa hadapan negara ini yang tidak bersatu dan hilang jati diri, sekali gus menggagalkan gagasan 1Malaysia.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang amat kecewa kerana masih terdapat kaum Cina di negara ini yang langsung tidak tahu berbahasa Melayu berkata, perkara itu amat serius dan memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.

"Mereka ini bersungguh-sungguh mempertahankan sekolah vernakular dan mahukan hak sama sebagai bangsa Malaysia tetapi pada masa sama tidak mahu pula mempelajari dan menguasai bahasa Melayu.

"Saya bukan bercakap kosong tetapi ia dibuktikan melalui laporan bahawa sepanjang gerakan Banci Penduduk dan Perumahan 2010, masyarakat Cina paling banyak menimbulkan masalah kerana tidak tahu berbahasa Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas diminta mengulas saranan seorang blogger, www.bigdogdotcom.wordpress.com supaya kerajaan menimbangkan secara serius dan mengambil tindakan politik secara berstruktur untuk mengurangkan sistem sekolah vernakular dan melaksanakan sepenuhnya sistem 'Satu Sekolah Untuk Semua'.

Di bigdogdotcom dalam tulisannya mendakwa dalam keghairahan kaum Cina lantang menuntut hak termasuk mempertahankan sistem sekolah vernakular yang menjadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar dan membelakangkan bahasa Melayu, sebenarnya masih ramai di kalangan mereka tidak boleh berbahasa Melayu, walaupun sekadar untuk perbualan.

"Ini dibuktikan apabila proses bancian yang sedang berjalan menempuh pelbagai rintangan apabila berurusan dengan kaum Cina.

"Kegagalan mereka mengunakan bahasa Melayu walaupun sekadar perbualan menyukarkan proses untuk membanci statistik sebenar negara, demi untuk perancangan ekonomi dan sosial, terutama dengan Model Baru Ekonomi yang akan diperkenalkan oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ia disahkan oleh Pesuruhjaya Banci dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof seperti yang dilaporkan oleh Bernama semalam," katanya.

Tambah penulis blog itu, apa sahaja penerapan semangat 1Malaysia akan gagal kerana asas utamanya iaitu kebolehan berkomunikasi amat penting dan kegagalan masyarakat minoriti itu menguasai bahasa Melayu, walaupun sekadar perbualan, menunjukkan jurang perbezaan antara kaum amat serius.

"Hakikatnya, golongan ini merupakan hanya 26 peratus tetapi mereka amat tegar mahukan sistem sekolah vernakular yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar diteruskan dan mereka tergamak menggunakan 'ugutan politik' untuk menentukan 'hak' mereka ini terpelihara dan makin diperluaskan.

"Sekiranya kaum Cina begitu degil mempertahankan 'budaya dan warisan' mereka dengan mengorbankan agenda negara, maka kewajaran mereka dilayan dan ditatang sebagai 'minyak penuh' adalah amat diragukan.

"Apa makna sekiranya negara maju tetapi rakyatnya berpecah belah dan hilang jati diri?," kata bigdogdotcom.

No comments: