Monday, October 17, 2011

7 Perkara Yang Membuat Anda Bermotivasi Di Waktu Pagi

Shukri Abdullah

Perkara terbaik yang anda patut lakukan di waktu pagi, adalah :

1. Bersyukur, bersyukur, bersyukur.
Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, anda juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.

2. Tekad Bermotivasi.
Pasang niat dalam hati yang anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.

Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.

3. Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi.
Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni.

Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, anda menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.

4. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah.
Bila anda mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas betri’ saja.

Andai kata anda seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan mula nak bukak buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan.

Masuk saje ke dalam kelas, pasang niat anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!

5. Set Target Kemajuan Diri Sendiri
Ini juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?

Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi.

Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja.

Mulai hari ini, ubah sikap anda. Set target apa yang anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari.

Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak bertanya pada lecturer atau guru anda nanti.

Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ni dalam bidang bisnes anda.

Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.

6. Lihat Warna Cerah
Warna boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.

Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!

Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood anda menjadi positif.

7. Penuhkan Hati Dengan Kemaafan
Lepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.

Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.

Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi. Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.

Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.

Anda mesti berubah untuk kemajuan diri.

Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup.

Wednesday, October 5, 2011

Belajar Melalui EDUTAINMENT



FARID Fadli, 11, kelihatan begitu asyik dan teruja sekali membaca maklumat di paparan skrin komputer yang disediakan.

Habis satu paparan, dicari lagi laman sesawang yang mempunyai kaitan dengan maklumat diingini. Tatkala matanya letih, pelajar Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda ini beralih arah ke bilik sebelahnya untuk menonton televisyen bagi merehatkan minda.

"Saya suka datang sini. Bukan sahaja dapat menggunakan kemudahan Internet untuk mencari maklumat yang disuruh oleh cikgu tetapi juga dapat membaca pelbagai jenis buku.

"Saya mula datang ke sini sejak darjah empat lagi dan saya rasa lebih baik "lepak"di sini daripada membuang masa di tempat yang tidak berfaedah,"katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagi Farid, kelengkapan teknologi komunikasi maklumat (ICT) di Pusat Hipermedia Kanak-kanak@PNM (PHKK@PNM) yang terdapat di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ini berupaya menarik minat golongan sebayanya menimba ilmu.

PHKK@PNM mula beroperasi pada tahun 1994 dengan kerjasama ExxonMobil yang ketika itu dikenali sebagai Esso untuk mencelikkan minat kanak-kanak pada penggunaan komputer.

Pada 1993 ExxonMobil menyumbang RM1 juta kepada PNM bagi menubuhkan PHKK@PNM yang dilengkapi dengan pelbagai perkakasan komputer, video dan audio untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Kini, selepas beroperasi selama hampir 17 tahun, PHKK@PNM berubah wajah. Jika sebelum ini hanya dikenali sebagai PHKK kini dengan suasana menarik dan peralatan canggih, ia dikenali sebagai PHKK@PNM. Ekoran nafas baru yang diterimanya ia akan dilancarkan semula pada 4 Oktober lalu. Ekoran proses naik taraf yang bernilai RM175,000 hasil sumbangan Exxonmobil, PHKK@PNM menawarkan persekitaran kondusif di setiap bilik, merangkumi bilik komputer, bilik cerita dan bilik muzik.

"Trend sudah berubah. Ilmu sekarang bukan hanya daripada buku, tetapi juga daripada pendengaran dan visual.

"Oleh itu, konsep perpustakaan ketika ini menggabungkan pelajaran dan hiburan menjadikannya edutainment,"kata Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar.

Dalam menyangkal singkatan sinis PNM sebagai pusat buang masa), Raslin berkata elemen hiburan mempunyai kelebihan tersendiri dalam menarik minat kanak-kanak.

Biarpun begitu, hiburan yang ditawarkan di PHKK@PNM bukanlah yang tidak berfaedah ataupun dalam erti kata lain, tidak ada unsur pendidikan.

"Di bilik komputer, kanak-kanak boleh bermain "game". Tetapi kami hanya menyediakan "game"berbentuk pelajaran sahaja yang dapat meningkatkan minda mereka.

"Begitu juga dengan bilik cerita dan muzik. Pemilihan cerita serta lagu dipastikan bersesuaian bagi menarik minat mereka untuk belajar,"katanya.

Istimewanya, bilik komputer ini turut menawarkan modul soalan “Skor A"yang menyediakan "tips"serta latihan bagi persediaan kanak-kanak ini untuk menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Tidak mahu sekadar menjadi sebuah pusat pembelajaran berlandaskan kepada ilmu pelajaran sahaja, PHKK@PNM menggunakan sepenuhnya peralatan multimedia yang ditawarkan di situ dalam usaha menerapkan nilai-nilai murni di kalangan kanak-kanak.

Memahami individu berkualiti bukan sahaja tertumpu kepada penguasaan ilmu malah turut merangkumi nilai-nilai murni yang menjana kepada modal insan seseorang itu.

Atas faktor itu, pemilihan cerita animasi serta lagu karaoke di bilik muzik akan diteliti sepenuhnya bagi memastikan hanya yang bersesuaian sahaja dipilih.

Justeru, siri animasi dan drama televisyen yang kaya dengan nilai-nilai murni dan elemen patriotisme serta cintakan sejarah seperti Upin dan Ipin, Leftenan Adnan, Darah Satria, Sarjan Hassan menjadi pilihan untuk ditayangkan.

Begitu juga dengan lagu. Lagu-lagu rakyat yang sememangnya kaya dengan nilai-nilai murni akan dijadikan pilihan dalam pemupukan sahsiah mulia seseorang kanak-kanak itu.

Tidak sekadar dilengkapi kemudahan, tetapi pelbagai program telah dianjurkan merangkumi teknik meneroka maklumat dan sebagainya.

Justeru, tidak menghairankan apabila konsep PHKK@PNM berjaya menarik minat kanak-kanak dan dari 1994 hingga Ogos tahun ini, seramai 652,038 kanak-kanak telah menggunakan perkhidmatan itu.

"Bagi mencelikkan kanak-kanak ini dengan penggunaan komputer, kami telah mengadakan aktiviti seperti Kem Komputer sejak tahun 1995 lagi dan kini ia dikenali sebagai Kem Remaja Siber.

"Penginapan turut disediakan dan mereka akan didedahkan dengan penggunaan komputer, Internet sepanjang kem itu,"katanya.

Antara program yang dijalankan seperti Bersama Meneroka Maklumat Digital, Infohunt, Jom Karang dari Internet, Kuiz Rukun Negara, Kuiz 1Malaysia, Kuiz Merdeka dan yang lain. — BERNAMA

Tuesday, October 4, 2011

Kajian menunjukkan kanak-kanak mudah terdedah sakit jantung, diabetes



MELBOURNE: Kanak-kanak yang terlalu lama menonton televisyen daripada had yang sepatutnya, kemungkinan besar berdepan penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan diabetes dalam kehidupan mereka, penemuan kajian terbaru di Australia.
Kajian oleh penyelidik University of Sydney mendapati kanak-kanak berusia enam tahun yang menghabiskan masa menonton televisyen mempunyai arteri yang menyempit di belakang mata mereka.

Ini meningkatkan peluang mereka untuk mengidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan diabetes apabila usia mereka semakin meningkat, menurut kajian itu yang dikeluarkan, semalam.

Kira-kira 1,500 kanak-kanak yang berusia antara enam hingga tujuh tahun dari 34 sekolah rendah di Sydney menjalani pemeriksaan dalam kajian itu.

Mereka yang melakukan aktiviti fizikal paling kerap iaitu setengah jam sehari atau melebihi tempoh itu ternyata mempunyai arteri retina yang lebih lebar berbanding mereka yang melakukan aktiviti fizikal kurang daripada setengah jam sehari.

“Kami dapati kanak-kanak yang rajin melakukan aktiviti fizikal mempunyai profil mikrovesikel yang lebih baik berbanding mereka yang kurang melakukan aktiviti fizikal,” kata Dr Bamini Gopinath, felo penyelidik kanan di Pusat Penyelidikan Penglihatan, University of Sydney.
Beliau berkata, ini membuktikan gaya hidup tidak sihat akan mempengaruhi mikroedaran yang awal dalam kehidupan dan meningkatkan ancaman terhadap penyakit jantung dan tekanan darah tinggi apabila usia semakin meningkat.

“Menggantikan tempoh satu jam di hadapan televisyen dengan melakukan aktiviti fizikal membawa kepada perubahan yang besar.

“Oleh itu, bermain secara percuma harus digalakkan dan sekolah harus menetapkan mandatori dua jam seminggu untuk aktiviti fizikal kanak-kanak,” kata Dr Gopinath yang berasal dari Sri Lanka.

Beliau berkata, ibu bapa harus menggalakkan anak mereka agar bergerak dan melarang mereka daripada duduk terlalu lama di kerusi. – BERNAMA