Thursday, December 30, 2010

Isu beg sekolah berat, adakah masih relevan?


TAHUN baru persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi tentunya disambut dengan pelbagai reaksi. Bagi anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan Tahun 1, tentunya merasa seronok melangkah ke alam persekolahan sebenar, tidak boleh main-main lagi. Jika berada di tadika, adakalanya malas hendak ke sekolah, mungkin ibu bapa masih akan lembut hati melayan kerenah sedemikian. Sekarang, anak-anak akan melangkah ke Tahun 1, ibu bapa perlu lebih serius dan peka dalam memahami kehendak anak-anak dan juga memerhati perubahan tindak tanduk anak-anak.

Isu yang boleh dikatakan sudah lama dan lapuk kembali lagi. Setelah beberapa tahun berlegar di sekitar permasalahan beg berat, adakah isu ini sudah ditangani dengan jayanya? Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pernah menulis dalam sebuah akhbar harian tahun ini yang menyatakan bahawa isu ini belum selesai. Kenapakah isu yang boleh dianggap kecil ini tidak dapat diatasi dengan efektif. Apakah lagi yang boleh dicadangkan untuk menangani masalah ini?

Ketika isu beg sekolah berat ini hebat diperkatakan, banyak cadangan yang telah diajukan kepada pihak-pihak yang berkaitan; ibu bapa, guru, Jabatan Pendidikan dan juga Kementerian Pelajaran. Antara yang pernah dicadangkan adalah pihak sekolah menyediakan lokar bagi memudahkan pelajar menyimpan buku yang tidak perlu dibawa balik dan guru pula dicadangkan merancang proses pengajaran dan pembelajaran dengan menetapkan apa yang hendak diajar agar pelajar hanya perlu membawa buku yang berkenaan sahaja.

Ibu bapa pula disaran agar meneliti jadual waktu anak-anak dan memastikan anak-anak membawa buku yang dijadualkan sahaja. Sesetengah buku teks juga telah dibahagikan kepada beberapa jilid agar tidak terlalu tebal dan berat untuk dibawa ke sekolah. Sekurangnya-kurangnya pihak yang berwajib bersikap responsif kepada permasalahan ini. Namun begitu, tidaklah dapat dipastikan sejauh mana cadangan-cadangan tadi telah direalisasikan oleh pihak sekolah, guru dan ibu bapa.

Kini, selepas beberapa tahun isu beg berat ini menjadi perbahasan pihak-pihak yang terlibat, adakah masalah ini telah diatasi dengan jayanya? Masih adakah rungutan ibu bapa? Jika tiada rungutan, adakah ini bermakna masalah ini sudah lenyap? Atau, masalah ini masih berterusan tetapi didiamkan sahaja kerana tiada kesudahannya? Kadang-kadang masyarakat cenderung menyatakan anak-anak zaman ini terlalu dimanjakan dan isu ini tidak lagi relevan walaupun ada kajian menyatakan kesan bebanan yang berat menyebabkan kanak-kanak mengalami sakit belakang dan simptom-simptom lain yang menjurus kepada akibat terlebih bebanan ini.

Perlu diimbas di sini bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia pernah menjalankan kajian khusus pada 2003 bagi mengenal pasti punca sebenar masalah beg berat ini. Kajian yang dijalankan mendapati berat sebenar keseluruhan buku teks adalah di antara 2.8 kilogram hingga tiga kilogram sahaja bagi sesuatu tahun. Menurut sumber Kementerian Pelajaran juga, berat ini akan jauh berkurangan jika pelajar membawa buku teks mengikut jadual harian. Bebanan lain termasuk buku kerja tambahan, buku rujukan, botol air dan kotak pensil. Perlukah semua buku tambahan, rujukan dibawa ke sekolah setiap hari?

Di sinilah, peranan guru sangat penting dalam menyediakan perancangan pengajaran yang berkesan. Perancangan sangat penting dalam apa juga situasi yang kita hadapi. Begitu juga dalam merancang strategi pengajaran dan pembelajaran. Kita sedia maklum bahawa guru-guru pada umumnya sangat terlatih dan mampu mengurus sesi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, namun mungkin ada ketika berlakunya kekeliruan tentang apa yang hendak diajar pada hari tersebut berlainan dengan apa yang dinyatakan kepada pelajar.

Sebagai contoh, mata pelajaran Bahasa Inggeris. Adalah tidak mungkin bagi seorang guru untuk mengajar pemahaman dan penulisan dalam peruntukan waktu yang sama. Kita sedia maklum bahawa kebiasaannya guru akan menetapkan hari-hari tertentu untuk mengajar kemahiran tertentu. Jadi, pelajar akan membawa buku yang berkaitan dengan kemahiran yang mahu diajar pada hari tersebut.

Kekeliruan mungkin timbul apabila kita tidak mengikut perancangan. Contohnya, pada hari yang sepatutnya pelajar diajar kemahiran penulisan, mereka sebaliknya diminta mengeluarkan buku pemahaman. Jika pelajar tidak membawa buku tersebut, pelajar akan dimarahi.

Bagi sesetengah guru yang terlebih emosi, kemarahan akan disertai dengan kata-kata yang agak tidak sesuai untuk dilontarkan kepada pelajar. Bagi pelajar yang baru menginjak ke alam persekolahan sebenar di mana persekitarannya agak berbeza dari persekitaran pra-sekolah, pengalaman dimarahi guru sangat menakutkan. Di situlah bermulanya budaya angkut semua buku sekolah agar tidak tersilap lagi dan tidak dimarahi lagi.

Norrihan Sulan

Pensyarah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang.

Monday, December 20, 2010

Kementerian Pelajaran guna data e-Kasih

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Mulai tahun depan, Kementerian Pelajaran akan menggunakan sepenuhnya data e-Kasih dalam mengenalpasti murid yang layak menerima skim Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi memastikan penerima hanya terdiri daripada murid miskin dan miskin tegar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ibu bapa atau penjaga kepada murid yang layak menerima skim hendaklah mendaftar dengan program e-Kasih.
Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Kesihatan telah memasukkan sebanyak 20 menu melalui skim RMT sebagai syarat perjanjian wajib dipatuhi oleh pihak pembekal, katanya ketika menjawab soalan Senator Ahmad Rusli Iberahim pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Katanya, perjanjian dibuat antara pihak pembekal dengan pihak sekolah bagi pelaksanaan skim RMT dan satu jawatankuasa di sekolah akan diwujudkan untuk memantau pelaksanaannya.
Tindakan tegas akan diambil terhadap guru besar atau pegawai yang gagal memastikan pelaksanaanya berkesan, kata beliau. - Bernama

Saturday, September 25, 2010

Lepasan UPSR mungkin dibenar ke aliran vokasional - TPM


MUAR 25 Sept. - Kerajaan akan merombak Sistem Pendidikan Vokasional Negara termasuk kemungkinan membenarkan lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mengikuti aliran kemahiran bagi meningkatkan jumlah tenaga mahir dalam pelbagai bidang industri negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu sejajar dengan sasaran Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk memastikan 20 peratus pelajar mengikuti aliran vokasional berbanding 10 peratus pada waktu ini.

Menteri Pelajaran itu berkata, rombakan tersebut dijangka memberi lonjakan besar kepada pendidikan vokasional negara kerana ia mengandungi beberapa elemen penambahbaikan seperti skop dan silibus mata pelajaran, kemudahan infrastruktur, keperluan industri, tenaga pengajar dan penglibatan pihak swasta.

"Pada dasarnya saya bersetuju adalah lebih baik diawalkan pelajar ini memasuki bidang kemahiran, ini memang dalam penelitian kementerian.

"Ini kerana mungkin lebih maka awal lebih panjang mereka berada dalam bidang itu dan kemahiran mereka lebih baik," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Melonjakkan Kecemerlangan Pendidikan Pagoh 2010 anjuran bersama Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran dan Sekreteriat Pendidikan Parlimen Pagoh di Dewan Sri Pekembar di sini hari ini.

Program yang dihadiri kira-kira 1,000 murid tahun lima dan pelajar tingkatan empat itu turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkarnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mat Dom.

Timbalan Perdana Menteri mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang memaparkan cadangan para pembaca blog 1Malaysia Perdana Menteri untuk input Belanjawan 2011 yang antara lain meminta kerajaan mengembangkan rakyat Malaysia yang berpotensi menjadi buruh berkualiti dalam aspek kemahiran.

Dalam blog www.1Malaysia.com.my itu, seorang pembaca yang menamakan dirinya sebgaai Mohamad menyarankan agar lepasan UPSR yang tidak berminat dengan pendidikan secara akademik dihantar ke sekolah kemahiran supara tahap keciciran persekolahan dapat dikurangkan ke paras paling minimum apabila potensi mereka boleh digilap di banyak pusat latihan kemahiran.

Muhyiddin berkata, ketika ini bidang vokasional boleh diambil oleh pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan jumlah pelajar aliran vokasional negara masih kecil berbanding negara lain.

Sedangkan, katanya, negara memerlukan sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun bagi memenuhi keperluan industri negara.

Menurutnya, kebanyakan negara maju dan Eropah termasuk Perancis mempunyai jumlah pelajar vokasional yang tinggi manakala di Indonesia sebanyak 40 peratus pelajar mereka adalah di bidang vokasional manakala Thailand hampir 60 peratus pelajarnya mengikuti aliran kemahiran.

Selepas Perancis, tambahnya, beliau akan ke Sydney, Australia dalam bulan ini untuk bidang vokasional yang diberi perhatian serius dalam sistem pendidikan mereka.

"Dalam awal tahun depan, rakyat boleh diberitahu mengenai transformasi vokasional ini dengan lebih jelas dan pada masa yang sama kita tidak mahu ibu bapa menganggap bahawa bidang vokasional adalah pilihan kedua, ini perlu diperbetulkan," katanya.

Muhyiddin berkata, rombakan itu akan memastikan skop kemahiran yang diajar bersifat praktikal dan bukan hanya teori agar lebih mempunyai hubung kait dengan keperluan industri dan pasaran kerja.

Dalam soal logistik dan infrastruktur, katanya, pihak swasta digalakkan membina sekolah kemahiran yang bersesuaian dengan lokasi seperti sekolah elektronik di kawasan perindustrian elektronik atau sekolah berkaitan pelabuhan di kawasan terdapat pelabuhan.

Beliau berkata, sekolah swasta ini akan mengikut silibus kementerian dan dengan cara itu akan mempercepatkan usaha menghasilkan lebih ramai jumlah pelajar vokasional.

Tuesday, September 21, 2010

PESTA MAKAN BUAH-BUAHAN TEMPATAN










Thursday, September 9, 2010

Salam Aidilfitri

Wednesday, August 11, 2010

Sistem Satu Sekolah Untuk Semua

Sistem Satu Sekolah Untuk Semua perlu segera dilaksanakan bagi mengelak wujudnya generasi masa hadapan negara ini yang tidak bersatu dan hilang jati diri, sekali gus menggagalkan gagasan 1Malaysia.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang amat kecewa kerana masih terdapat kaum Cina di negara ini yang langsung tidak tahu berbahasa Melayu berkata, perkara itu amat serius dan memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.

"Mereka ini bersungguh-sungguh mempertahankan sekolah vernakular dan mahukan hak sama sebagai bangsa Malaysia tetapi pada masa sama tidak mahu pula mempelajari dan menguasai bahasa Melayu.

"Saya bukan bercakap kosong tetapi ia dibuktikan melalui laporan bahawa sepanjang gerakan Banci Penduduk dan Perumahan 2010, masyarakat Cina paling banyak menimbulkan masalah kerana tidak tahu berbahasa Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas diminta mengulas saranan seorang blogger, www.bigdogdotcom.wordpress.com supaya kerajaan menimbangkan secara serius dan mengambil tindakan politik secara berstruktur untuk mengurangkan sistem sekolah vernakular dan melaksanakan sepenuhnya sistem 'Satu Sekolah Untuk Semua'.

Di bigdogdotcom dalam tulisannya mendakwa dalam keghairahan kaum Cina lantang menuntut hak termasuk mempertahankan sistem sekolah vernakular yang menjadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar dan membelakangkan bahasa Melayu, sebenarnya masih ramai di kalangan mereka tidak boleh berbahasa Melayu, walaupun sekadar untuk perbualan.

"Ini dibuktikan apabila proses bancian yang sedang berjalan menempuh pelbagai rintangan apabila berurusan dengan kaum Cina.

"Kegagalan mereka mengunakan bahasa Melayu walaupun sekadar perbualan menyukarkan proses untuk membanci statistik sebenar negara, demi untuk perancangan ekonomi dan sosial, terutama dengan Model Baru Ekonomi yang akan diperkenalkan oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ia disahkan oleh Pesuruhjaya Banci dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof seperti yang dilaporkan oleh Bernama semalam," katanya.

Tambah penulis blog itu, apa sahaja penerapan semangat 1Malaysia akan gagal kerana asas utamanya iaitu kebolehan berkomunikasi amat penting dan kegagalan masyarakat minoriti itu menguasai bahasa Melayu, walaupun sekadar perbualan, menunjukkan jurang perbezaan antara kaum amat serius.

"Hakikatnya, golongan ini merupakan hanya 26 peratus tetapi mereka amat tegar mahukan sistem sekolah vernakular yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar diteruskan dan mereka tergamak menggunakan 'ugutan politik' untuk menentukan 'hak' mereka ini terpelihara dan makin diperluaskan.

"Sekiranya kaum Cina begitu degil mempertahankan 'budaya dan warisan' mereka dengan mengorbankan agenda negara, maka kewajaran mereka dilayan dan ditatang sebagai 'minyak penuh' adalah amat diragukan.

"Apa makna sekiranya negara maju tetapi rakyatnya berpecah belah dan hilang jati diri?," kata bigdogdotcom.

Percepat pengeluaran garis panduan peraturan sekolah


KUALA LUMPUR 11 Ogos — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) hari ini menggesa Kementerian Pelajaran mempercepatkan pengeluaran Garis Panduan Peraturan Sekolah yang baru bagi melindungi guru berikutan masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing.

Setiausaha Agongnya, Lok Yim Pheng berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat bersama Kementerian Pelajaran Malaysia, kesatuan guru, para akademik dan ibubapa pada 2007, namun, masih belum menerima maklum balas mengenainya.

"Garis Panduan Peraturan Sekolah telah dibincangkan lama dulu, tetapi sehingga kini, masih belum siap dan kami masih lagi menunggu,” katanya kepada Bernama hari ini. Bagi menangani masalah disiplin pelajar yang kian meruncing, Lok berkata pihaknya berpendapat lebih ramai guru lelaki diperlukan dan jawatan Ketua Guru Disiplin di setiap sekolah, dijadikan sebagai jawatan baru untuk kenaikan pangkat. "Bagi melayakkan diri, setiap guru dengan kelayakan DG44 boleh dinaikkan pangkat ke jawatan tersebut bagi sekolah menengah dan DG32 bagi sekolah rendah,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai persediaan, beliau berkata mereka yang ditawarkan ke jawatan itu perlu menghadiri latihan intensif dalam aspek undang-undang dan cara menangani masalah disiplin sebelum mula bertugas.

Lok juga berkata pihaknya mencadangkan agar kuasa merotan pelajar diberikan semula kepada guru bagi mengawal pelajar yang mempunyai masalah disiplin kronik. "Syarat boleh diletakkan, tetapi kuasa merotan perlu dipulangkan semula bagi memudahkan kawalan terhadap segelintir pelajar “tegar” yang kerap menimbulkan masalah di sekolah,” katanya. Beliau berkata perkara itu penting diberikan perhatian untuk melindungi golongan pendidik berdasarkan tindakan “berani” segelintir pelajar pada mutakhir ini yang mencetuskan kebimbangan.

"Sebilangan pelajar kadangkala bertindak terlalu agresif sehingga mencederakan guru, khasnya guru wanita."Minggu lepas, seorang guru diserang oleh seorang pelajar yang bertindak agresif di Sarawak,” katanya. — Bernama

Sunday, August 8, 2010

Panduan guna Internet secara selamat


Aspek keselamatan dalam penggunaan Internet kini semakin menjadi penting.-Gambar hiasan


INTERNET atau rangkaian komputer awam merupakan satu tempat yang sangat popular digunakan untuk mencari sebarang maklumat atau melakukan pelbagai transaksi dan aktiviti seharian seperti jual beli, perbankan, permohonan, semakan dan pelbagai lagi.

Teknologi Internet ini dibina dengan kaedah protokol rangkaian TCP/IP secara eksperimental oleh beberapa universiti dan agensi kerajaan di Amerika.

Tujuannya adalah untuk merangkaikan komputer secara fleksibel dan mudah tanpa mengambil kira aspek keselamatan bagi kaedah tersebut.

Dengan itu, Internet merupakan satu alat yang sangat popular, mudah dan murah digunakan untuk membuat aktiviti-aktiviti tertentu.

Namun begitu, dari segi keselamatannya ia agak longgar dan tidak terjamin kecuali pengaksesan Internet itu dibuat dengan cara-cara tertentu untuk tujuan keselamatan.

Di sini dibincangkan beberapa cara yang boleh dipraktikkan secara umum untuk akses kepada teknologi Internet secara selamat.

Secara umumnya, tidak mengira apa jenis aplikasi yang dipakai menerusi Internet, data dan transaksinya perlulah dienkripsikan kerana berkemungkinan besar.

Data-data yang diakses menerusi Internet ini boleh dicapai dengan mudah sebelum ia sampai ke destinasinya.

Jadi, sekiranya ia dapat dicapai, data-data yang dienkripsikan tadi adalah dalam bentuk yang tidak bermakna.

Penceroboh perlu melakukan pecah masuk ke dalam sistem enkripsi data itu terlebih dahulu untuk dia mengetahui apa yang terkandung dalam data-data atau paket-paket tersebut.

Sekiranya data-data atau paket-paket tersebut tidak dienkripsi, segala kandungan dan maklumat yang diperolehi oleh penceroboh tersebut adalah dalam bentuk yang nyata dan jelas.

Sebagai contoh, sekiranya ia dapat kata laluan, By32u2 , itulah data yang penceroboh itu akan dapat.

Isu keselamatan dalam capaian Internet boleh ditangani dengan tiga faktor iaitu polisi atau undang-undang, pendidikan dan perimeter atau teknikal.

Perbincangan ini akan melihat isu keselamatan capaian Internet dari segi teknikal atau perimeternya.

Kompromi akaun perbankan Internet Pengguna Servis komunikasi dan log in dalam Internet yang menggunakan protokol HTTP untuk melayari web, protokol POP3/SMTP dan IMAP untuk e-mel, protokol TELNET untuk capaian sistem komputer daripada komputer lain dan protokol FTP untuk pemindahan fail tidak dienkrip.

Ini bermakna data atau paket yang dihantar dan diterima adalah dalam bentuk teks yang nyata atau clear text.

Jadi, untuk melayari atau masuk atau log in ke dalam laman web yang sensitif terutamanya yang melibatkan transaksi wang, pastikan laman web tersebut menggunakan protokol HTTPS/SSL.

Protokol Secure Socket Layer atau SSL ini akan enkrip data yang terlibat dengan tanda-tanda seperti berikut:-

lAlamat URL web tersebut akan dimulai dengan https:// dan tidak http://.

lPelayar web pula akan melihatkan ikon kunci mangga atau ruang alamat web akan berwarna hijau atau tanda-tanda yang lain.

Penggunaan aplikasi capaian e-mel atau client seperti Outlook dan Thunderbird yang menggunakan protokol-protokol e-mel yang tidak selamat perlu ditambah baik dengan menyertakan sekali dengan protokol keselamatan SSL yang akan mengenkrip sambungan e-mel tersebut.

Namun begitu, penggunaan protokol enkrip ini perlu disokong atau dibenargunakan oleh konfigurasi pada komputer pelayan e-mel tersebut.

Sekiranya begitu, keadaannya dan sistem e-mel itu menyokong akses menerusi web, capaian e-mel boleh dibuat menerusi web dengan menggunakan protokol keselamatan HTTPS/SSL.

Bagi kemasukan ke dalam sistem komputer secara jarak jauh daripada komputer lain menerusi Internet, elakkan penggunaan aplikasi yang menggunakan protokol TELNET.

Gunakan aplikasi untuk kemudahan ini yang berupaya menggunakan protokol keselamatan SSH atau Secure Shell.

Pemindahan fail menerusi Internet seperti muat turun dan muat naik sesebuah fail adalah mudah menggunakan aplikasi FTP tetapi ia tidak selamat kerana data atau fail tersebut tidak dienkrip.

Penyelesaiannya, gunalah aplikasi pemindahan fail menerusi Internet ini yang menyokong protokol keselamatan seperti protokol SSH, SSL with FTP atau SFTP dan SCP.

Namun begitu, penggunaan protokol keselamatan dalam aplikasi pemindahan fail ini perlu disokong oleh komputer pelanggan dan komputer pelayan.

Kemudahan capaian teknologi Internet memberi banyak manfaat kepada manusia untuk menjalankan aktiviti seharian. Namun begitu, secara lalainya atau default ia tidak selamat kerana sejarah pembinaannya adalah untuk kemudahan sambungan di antara komputer-komputer tanpa memikirkan isu keselamatan.

Penggunaan apa sahaja aplikasi Internet secara selamat memerlukan penggunaan protokol-protokol keselamatan seperti SSL, SSH, IPSec dan lain-lain.

Ini kerana, protokol-protokol keselamatan ini akan enkrip data-data, paket-paket dan sambungan daripada komputer anda ke komputer lain menerusi sambungan rangkaian awam ini atau Internet.

Teknologi Internet generasi baru yang menggunakan protokol IPv6, meletakkan protokol keselamatan di dalamnya sebagai sesuatu keutamaan dalam capaiannya.

Monday, August 2, 2010

USIK - USIK

Tuesday, July 27, 2010

Guru gred 41 hingga 48 dibenar terlibat dalam politik

KUALA LUMPUR 27 Julai - Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad,” kata Mohd Sidek.

Beliau berkata, syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya, mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik. - Bernama

Monday, July 26, 2010

Falsafah di sebalik pemansuhan UPSR

PENGGUBALAN apa juga sistem dan proses dalam pendidikan memang dibenarkan. Hal ini kerana Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tidak mengehadkan seseorang pelajar untuk membuat apa, menjadi apa atau bersikap bagaimana ketika berada dalam sistem.

Asalkan pelajar boleh menyesuaikan diri mereka dengan pelbagai perubahan yang berlaku sepanjang hayat mereka, maka sistem dibenarkan untuk berubah.

Guru perlu tahu dan faham akan hal ini kerana kebanyakan yang kurang senang dengan cadangan itu, khabarnya ialah mereka - para guru sendiri.

Sebenarnya, kita tidak perlu bimbang akan keselesaan dan kesenangan yang kita kecapi selama ini akan tergugat kalau yang kita fikirkan ialah masa depan anak-anak kita dan negara.

Jadi, bila ada cadangan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya tidak ada alasan untuk membuat bantahan kerana sistem pendidikan kita terbuka kepada perubahan yang dinyatakan dalam FPK.

Namakan apa sahaja - evolusi, revolusi, penambahbaikan - tujuannya adalah sama, menyediakan anak-anak kita dengan perubahan yang bersesuaian dengan zamannya nanti.

Memang tidak ada yang kekal di muka bumi Allah ini kecuali perubahan. UPSR bukan makalah wahyu yang tidak boleh diubah semata-mata ia telah dilaksanakan lebih daripada 15 tahun.

Secara asasnya, FPK - daripada dahulu sehingga sekarang - ialah pembangunan modal insan bermatlamat memperkembang potensi individu secara menyeluruh, untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi.

Hal ini bertujuan untuk melahirkan pekerja yang berilmu dan berketrampilan dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif bagi memenuhi keperluan negara untuk mencapai kecemerlangan dalam ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau jargon semasa, k-ekonomi.

Oleh itu, asas kepada perubahan ini terletak kepada beberapa perkara dan semua orang perlu bersikap terbuka - bukan sahaja masyarakat, tetapi juga guru, para pegawai kementerian, penggubal dasar dan sebagainya.

Kita juga sering mendengar rungutan tentang sikap segelintir pegawai di dalam kementerian yang beria-ia benar hendak mempertahankan kurikulum sedia ada, kononnya yang terbaik - sehingga menutup pintu kepada cadangan oleh pihak luar yang mungkin lebih profesional dan semasa sifatnya.

Parameter pertama di bawah FPK yang perlu mengalami perubahan ialah penyediaan kurikulum yang lebih relevan. Kurikulum perlu diubah suai mengikut keperluan semasa supaya murid memperolehi pengetahuan terkini, mengikuti perkembangan sosial dan menguasai kemahiran yang bernilai dari segi ekonomi.

Kedua ialah penyediaan sistem penyampaian yang berkesan - Sistem penyampaian yang berkesan akan meluaskan pengalaman murid kerana mereka dapat maklumat daripada pelbagai punca maklumat di seluruh dunia dengan menggunakan teknologi yang canggih seperti ICT. Sistem ini juga membolehkan pembelajaran kendiri dilaksanakan.

Ketiga ialah penekanan kepada pendidikan agama dan moral. Peningkatan kepada salah laku dalam kalangan pelajar sekolah dan gejala sosial dalam masyarakat memerlukan penerapan nilai agama dan moral pada semua peringkat pendidikan diperkukuh dan memastikan nilai baik dapat dihayati dalam semua aspek kehidupan.

Sebagai tambahan, pemupukan semangat patriotik perlu dipupuk melalui semua mata pelajaran. Pemupukannya juga dapat dilakukan melalui aktiviti kokurikulum dan khidmat masyarakat.

Pemupukan semangat patriotisme bertujuan untuk melahirkan murid yang mempunyai semangat cinta- kan negara dan berbangga sebagai rakyat Malaysia. Selain pembangunan insan, pendekatan strategik juga seharusnya berfokus kepada pembangunan sumber pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan.

Setelah memahami kandungan FPK, marilah kita bertanya, sama ada UPSR - juga peperiksaan awam lain - telah mencapai gagasan membangunkan modal insan yang kita impikan itu.

Kalau belum, mengapa tidak kita ganti sahaja dengan yang lain. Mungkin perubahan dalam sistem pendidikan kelak umpama banjir besar - menghanyutkan terus sistem lapuk dan orang yang enggan berubah di dalam laluannya.

Monday, July 19, 2010

Pendidikan untuk kanak-kanak bukan warganegara tanpa dokumen pengenalan

KUALA LUMPUR 20 Julai - Kerajaan akan sentiasa memastikan penyediaan dan pelaksanaan pendidikan untuk kanak-kanak tanpa dokumen dapat dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan semua kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan yang sewajarnya, tanpa mengira agama, bangsa dan lokasi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi menangkis tohmahan masyarakat antarabangsa terhadap negara ini yang menyatakan bahawa Malaysia tidak memberi pendidikan yang sewajarnya kepada kanak-kanak.

"Sehingga kini, Kementerian Pelajaran telahpun mewujudkan beberapa perkongsian pintar seperti bersama Pasukan Petugas Khas Persekutuan untuk program pendidikan 3M KAFA; Angkatan Tentera Malaysia melalui Program Jiwa Murni di Pulau Berhala, Sandakan dan Yayasan Guru Malaysia Berhad dan UNICEF.

"Justeru perkongsian pintar ini akan diperluaskan dan saya amat mengharapkan supaya agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan yang lain berminat untuk bersama-sama berganding bahu melaksanakan program pendidikan bagi kanak-kanak tanpa dokumen ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Noriah Mahat yang ingin tahu status dasar pendidikan kanak-kanak tanpa dokumen bukan warganegara dan perancangan kementerian dalam memberi pendidikan kepada kanak-kanak itu bagi mengatasi masalah buta huruf dan melaksanakan pendidikan untuk semua.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan telah mewujudkan dasar-dasar baru bagi memastikan golongan kanak-kanak tanpa dokumen mendapat pendidikan sewajarnya.

Beliau berkata, kanak-kanak warganegara yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, sebenarnya tidak menghadapi masalah untuk diterima masuk ke sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan jika memenuhi syarat yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.1/2009 bertarikh 11 Mac 2009. - Bernama

Sunday, June 27, 2010

MORAL OF THE STORY ??????




Seekor anak unta telah bertanya 3 soalan kepada ibunya.

Soalan 1 :
Kenapa bulu mata kita ni panjang...tak lawa.
Jawab si ibu unta, unta tinggal di Padang Pasir, banyak pasir berterbangan, jadi Allah swt beri bulu mata ni panjang supaya bulu mata ni boleh jadi penghalang daripada pasir masuk ke dalam mata. Bulu mata unta ni saling kait seperti perangkap dan melindungi matanya dari badai pasir yang kuat. Begitulah nikmat kejadian Allah swt. Anak unta mengangguk tanda faham.

Soalan 2 :
Kenapa bonggol kita tinggi sangat, kan tak lawa tu.....
Jawab si ibu unta, unta ni tinggal di tengah padang pasir... sukar nak dapat bekalan air dan makanan, jadi Allah swt jadikan bonggol ni tinggi dan besar supaya dapat menyimpan air sebagai bekalan kita dalam perjalanan. Begitulah nikmat kejadian Allah swt. Anak unta mengangguk tanda faham.

Soalan 3 :
Kenapa kulit kaki kita tebal dan tapak kaki kita besar tak lawa ....tak macam kaki kuda...
Jawan si ibu unta, unta ni tinggal di padang pasir. Dengan kulit yang tebal dan tapak kaki yang besar membantu unta berjalan di padang pasir dengan mudah tanpa terperosok. Selain tu, kulit tebal di bawah telapak kaki merupakan perlindungan terhadap pasir yang membakar.
Begitulah nikmat kejadian Allah swt. Anak unta mengangguk tanda faham.


Apabila ketiga-tiga soalan ini telah dijawab oleh ibu unta, anak unta ini bertanya lagi pada ibunya....."ibu, Allah swt telah beri tiga kelebihan atau nikmat ini pada kita...
tetapi kenapa kita tak dapat rasai nikmatnya?????????????"

Siibu unta terdiam seketika...dan dengan suara yang perlahan, ibu unta menjawab..."kita tak dapat rasai ketiga2 ni sebagai satu nikmat sebab kita tinggal dalam zoo........ sekiranya kita tingga di luar zoo.... barulah kita tahu betapa bulu mata yang panjang, bonggol yang besar dan kaki yang luas ni satu nikmat....." sambung si ibu unta lagi...." kita tinggal di dalam zoo....kita berada dalam zon selesa.... bila berada dalam zon selesa, kita lupa hargai apa yang kita ada...huhuhuhuhu

Friday, May 14, 2010

Monday, May 10, 2010

Thursday, April 29, 2010

SIP: Pendidikan berkualiti tanpa kompromi

PETALING JAYA 29 April - Guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan khusus kepada mana-mana guru sekiranya kaedah pengajaran mereka kurang berkesan untuk meningkatkan prestasi pelajar.

Pendekatan itu merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) yang bermatlamat untuk memperluaskan akses kepada pendidikan yang bermutu dan berkemampuan secara konsisten.

Program Pembangunan Prestasi Sekolah yang dilancarkan hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya merupakan salah satu inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, program itu mempunyai tiga komponen utama iaitu pertama, membabitkan penarafan tahap pencapaian sekolah berdasarkan Skor Komposit Sekolah.

Menurut beliau, melalui mekanisme itu setiap sekolah akan mengetahui kedudukan masing-masing dari segi prestasi akademik murid dan kualiti pengurusan sekolah secara keseluruhan.

"Dengan adanya maklumat ini, pihak sekolah akan dapat menentukan garis mula proses peningkatan prestasi sekolah dan menetapkan sasaran yang realistik.

"Komponen kedua pula, setiap sekolah akan dibekalkan dengan tool kit pembangunan prestasi sekolah, iaitu instrumen penilaian kendiri secara talian terus yang akan membantu sekolah menilai prestasi semasa.

"Melaluinya, pihak sekolah mampu mengenal pasti bidang-bidang yang perlu ditambah baik dan menyediakan pelan penambahbaikan secara terarah," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Tambah Muhyiddin, penilaian pencapaian sekolah secara kendiri bermaksud guru besar atau pengetua dapat mengesan kelemahan murid dalam mata pelajaran tertentu.

Justeru, langkah seterusnya, kata beliau, mengenal pasti punca kelemahan tersebut dan merancang tindakan susulan bagi mengatasinya.

"Jika kelemahan itu berpunca daripada kaedah pengajaran kurang berkesan, maka guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan untuk guru-guru mata pelajaran berkenaan dan memantau perkembangannya dari masa ke semasa," katanya.

Komponen ketiga, kata Muhyiddin, dikenali sebagai service line iaitu program sokongan di mana kementerian akan memberi bantuan tambahan kepada sekolah-sekolah yang paling memerlukannya terutama sekolah berprestasi rendah.

Katanya, maklumat keperluan sekolah itu dapat dikenal pasti melalui aplikasi tool kit yang diberikan.

Bantuan itu katanya, seperti menyediakan bimbingan kepada pengurusan sekolah, melaksanakan program pembinaan keupayaan guru dan membekalkan alat bantuan mengajar tambahan mengikut keperluan.

"Keunikan program ini ialah pihak sekolah tidak akan dibiarkan bersendirian dalam usaha untuk melonjakkan prestasi dan mengatasi kelemahan masing-masing," katanya.

Jelas Muhyiddin, SIP tidak bermaksud menggantikan sebarang bentuk program pembangunan prestasi sekolah sedia ada, tetapi ia berfungsi sebagai pelengkap kepada usaha-usaha murni yang sedang dilaksanakan.

"Saya berharap SIP akan merapatkan jurang pencapaian antara sekolah terutama bandar dan luar bandar,'' katanya.

Saturday, April 17, 2010

Minggu Tidak Menonton TV

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) akan mengadakan kempen 'Minggu Tidak Menonton Televisyen' di seluruh negara dengan menyasarkan golongan muda, pada 21 hingga 27 April ini.

Penyelaras Kempen Konsumer Kebangsaan (3K) Fomca, Datuk Paul Selva Raj, berkata usaha itu dilakukan berikutan kajian mendapati, kanak-kanak menghabiskan masa antara tiga hingga lima jam sehari menonton televisyen, sekali gus membawa kepada gaya hidup tidak sihat.

“Dalam kajian pada 2005 membabitkan penggunaan peralatan berskrin termasuk televisyen, komputer dan telefon bimbit mendapati aktiviti masa lapang golongan muda ialah 87 peratus melayari internet, 73 peratus menonton televisyen, 42 peratus bermain permainan video dan 36 peratus menulis blog.

“Keseluruhannya, kesan negatif rentetan daripada masalah ini membawa kepada peningkatan masalah kegemukan, berat berlebihan serta diabetes yang membahayakan kesihatan jika tiada perancangan melakukan aktiviti lain bagi menggantikan masa menonton televisyen,” katanya di sini, semalam.

Semua pihak diminta mengurangkan penggunaan peralatan berskrin sebaliknya lebih banyak melakukan aktiviti aktif sebagai tanda menyokong kempen itu.

Risalah Minggu Tidak Menonton Televisyen diedarkan di Lembah Klang dan bandar utama manakala, pada hari terakhir kempen Fomca mengadakan sesi berkongsi pengalaman aktiviti apabila tidak menonton televisyen.

Sehingga kini katanya, sebanyak 5 tadika di seluruh negara menyatakan kesediaan mengambil bahagian dalam kempen ini.

Sunday, April 4, 2010

Rumah kabin ganti bilik di bawah kelas

Selesai masalah kediaman guru SK Long Lutin

KUCHING: Kementerian Pelajaran akan membina rumah kabin sebagai kediaman empat guru termasuk sepasang suami isteri di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lutin, Ulu Baram, yang terpaksa tinggal di bawah bilik darjah di sekolah berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata beliau akan menemui Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan mengemukakan cadangan bagi mengeluarkan peruntukkan kecemasan untuk membina rumah guru kabin itu.

Beliau berkata pembinaan rumah guru kabin dengan kos kira-kira RM100,000 seunit adalah pendekatan berkesan untuk menyelesaikan masalah kediaman guru itu dengan segera.

Saya amat terkejut apabila terbaca laporan akhbar mengenai nasib guru di SK Long Lutin itu dan lebih mengejutkan apabila masalah kediaman guru itu berlarutan sejak tiga tahun yang saya rasa tempoh terlalu panjang dan cukup mencabar bagi guru terbabit.

Saya akan meminta Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak supaya mengemukakan laporan segera berhubung masalah itu, katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas laporan nasib guru berkenaan yang terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit berukuran enam meter panjang dan tiga meter lebar dengan ketinggian hanya dua meter kerana kediaman guru sedia ada tidak mencukupi.

Sambil menyuarakan rasa kagumnya terhadap pengorbanan guru berkenaan, Mohd Puad turut mengakui masih banyak yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah kediaman guru di kawasan pendalaman dan pihaknya memerlukan maklumbalas daripada pelbagai pihak untuk mengesan sebarang masalah yang perlu diberi keutamaan.
Dalam hal ini (SK Lutin), saya hanya mengetahui masalah itu daripada laporan akhbar yang jelas mendedahkan masalah yang dihadapi guru terbabit.

Jika masalah seperti ini berlarutan, kita akan terus menghadapi kesukaran untuk menghantar guru ke pedalaman, katanya.

Friday, April 2, 2010

Timbalan Perdana Menteri Tiba Di Kelantan Untuk Lawatan Kerja Sehari

MACHANG, 3 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini pada hari Sabtu dalam rangka lawatan kerja sehari di Kelantan.

Muhyiddin dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di Lapangan Terbang Gong Kedak, Terengganu pada pukul 8.10 pagi dan menaiki helikopter untuk ke Sekolah Menengah Sains Machang di sini.

Sebaik tiba di bandar Machang, Muhyiddin bersama isteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed bertolak ke Stesen Kereta Sewa Machang untuk bersarapan bersama pemimpintempatan, NGO dan penduduk setempat di stesen berkenaan.

Selepas itu, Muhyiddin dijadual mempengerusikan mesyuarat Perhubungan Umno Kelantan manakala isterinya akan melawat Hospital Machang pada 9.30 pagi.

Muhyiddin dan isteri dijadual ke Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah 1, di sini untuk merasmikan majlis Juara Rakyat dan penyerahan bantuan wang ihsan pada 10.30 pagi.

Kedua-dua mereka kemudian akan meneruskan lawatan kerja di daerah Bachok pada sebelah petang, dimulai dengan Majlis Minum Petang bersama pemimpin tempatan di rumah rehat Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein di Perupok, Bachok.

Pada pukul 2.40 petang pula, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan tiba di Kem Tangok, Bachok bagi menghadiri program Ko-kurikulum Peringkat Kebangsaan 2010, sebelum berlepas pulang ke ibu negara pada pukul 4.40 petang.

-- BERNAMA

Sunday, March 28, 2010

Kursus Sahabat PPDa - Petronas



Peserta dari SK Gual Sitok ke Kursus Fasilatator Sahabat PPDa-Petronas Sekolah Menengah & Rendah Peringkat Negeri Kelantan 2010 - Muhammad Hafiz Izuddin bin Amaran ( bulat merah ) sedang bergambar bersama para peserta lain di Dewan Gemersik, Taman Rehlah, Pasir Puteh.

Monday, March 22, 2010

Saturday, March 20, 2010

Masa BM, BI ditambah 2011

KUALA LUMPUR 20 Mac - Kabinet telah membuat keputusan untuk menambah masa pembelajaran subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di sekolah rendah berkuat kuasa pada sesi persekolahan 2011.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penambahan itu adalah selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) berikutan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau memberitahu, bagi sekolah kebangsaan (SK), penambahan masa hanya untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris iaitu dari 240 kepada 330 minit seminggu bagi tahap satu manakala tahap dua dari 210 kepada 300 minit seminggu.

Beliau berkata, bagi sekolah jenis kebangsaan (SJK), penambahan masa melibatkan kedua-dua mata pelajaran itu.

''Bagi Bahasa Inggeris penambahan masa untuk tahap satu adalah dari 60 kepada 120 minit seminggu manakala tahap dua dari 90 kepada 120 minit seminggu.

''Bagi Bahasa Malaysia pula, untuk tahap satu ditambah dari 270 kepada 330 minit seminggu manakala tahap dua dari 180 kepada 270 minit seminggu,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010 di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberi jaminan bahawa penambahan masa itu tidak akan menyebabkan sesi persekolahan dipanjangkan.

Katanya, pihak kementerian juga akan mengolah kurikulum supaya ia menjadi lebih kreatif bagi memastikan proses pembelajaran yang menyeronokkan.

"Ia tidak akan menyebabkan waktu persekolahan menjadi panjang kerana kita buat pengubahsuaian mana waktu kita (perlu) kurangkan dan mana waktu yang kita (perlu) tambah," katanya.

Friday, March 12, 2010

Thursday, March 11, 2010