Wednesday, October 5, 2011

Belajar Melalui EDUTAINMENT



FARID Fadli, 11, kelihatan begitu asyik dan teruja sekali membaca maklumat di paparan skrin komputer yang disediakan.

Habis satu paparan, dicari lagi laman sesawang yang mempunyai kaitan dengan maklumat diingini. Tatkala matanya letih, pelajar Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda ini beralih arah ke bilik sebelahnya untuk menonton televisyen bagi merehatkan minda.

"Saya suka datang sini. Bukan sahaja dapat menggunakan kemudahan Internet untuk mencari maklumat yang disuruh oleh cikgu tetapi juga dapat membaca pelbagai jenis buku.

"Saya mula datang ke sini sejak darjah empat lagi dan saya rasa lebih baik "lepak"di sini daripada membuang masa di tempat yang tidak berfaedah,"katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagi Farid, kelengkapan teknologi komunikasi maklumat (ICT) di Pusat Hipermedia Kanak-kanak@PNM (PHKK@PNM) yang terdapat di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ini berupaya menarik minat golongan sebayanya menimba ilmu.

PHKK@PNM mula beroperasi pada tahun 1994 dengan kerjasama ExxonMobil yang ketika itu dikenali sebagai Esso untuk mencelikkan minat kanak-kanak pada penggunaan komputer.

Pada 1993 ExxonMobil menyumbang RM1 juta kepada PNM bagi menubuhkan PHKK@PNM yang dilengkapi dengan pelbagai perkakasan komputer, video dan audio untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Kini, selepas beroperasi selama hampir 17 tahun, PHKK@PNM berubah wajah. Jika sebelum ini hanya dikenali sebagai PHKK kini dengan suasana menarik dan peralatan canggih, ia dikenali sebagai PHKK@PNM. Ekoran nafas baru yang diterimanya ia akan dilancarkan semula pada 4 Oktober lalu. Ekoran proses naik taraf yang bernilai RM175,000 hasil sumbangan Exxonmobil, PHKK@PNM menawarkan persekitaran kondusif di setiap bilik, merangkumi bilik komputer, bilik cerita dan bilik muzik.

"Trend sudah berubah. Ilmu sekarang bukan hanya daripada buku, tetapi juga daripada pendengaran dan visual.

"Oleh itu, konsep perpustakaan ketika ini menggabungkan pelajaran dan hiburan menjadikannya edutainment,"kata Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar.

Dalam menyangkal singkatan sinis PNM sebagai pusat buang masa), Raslin berkata elemen hiburan mempunyai kelebihan tersendiri dalam menarik minat kanak-kanak.

Biarpun begitu, hiburan yang ditawarkan di PHKK@PNM bukanlah yang tidak berfaedah ataupun dalam erti kata lain, tidak ada unsur pendidikan.

"Di bilik komputer, kanak-kanak boleh bermain "game". Tetapi kami hanya menyediakan "game"berbentuk pelajaran sahaja yang dapat meningkatkan minda mereka.

"Begitu juga dengan bilik cerita dan muzik. Pemilihan cerita serta lagu dipastikan bersesuaian bagi menarik minat mereka untuk belajar,"katanya.

Istimewanya, bilik komputer ini turut menawarkan modul soalan “Skor A"yang menyediakan "tips"serta latihan bagi persediaan kanak-kanak ini untuk menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Tidak mahu sekadar menjadi sebuah pusat pembelajaran berlandaskan kepada ilmu pelajaran sahaja, PHKK@PNM menggunakan sepenuhnya peralatan multimedia yang ditawarkan di situ dalam usaha menerapkan nilai-nilai murni di kalangan kanak-kanak.

Memahami individu berkualiti bukan sahaja tertumpu kepada penguasaan ilmu malah turut merangkumi nilai-nilai murni yang menjana kepada modal insan seseorang itu.

Atas faktor itu, pemilihan cerita animasi serta lagu karaoke di bilik muzik akan diteliti sepenuhnya bagi memastikan hanya yang bersesuaian sahaja dipilih.

Justeru, siri animasi dan drama televisyen yang kaya dengan nilai-nilai murni dan elemen patriotisme serta cintakan sejarah seperti Upin dan Ipin, Leftenan Adnan, Darah Satria, Sarjan Hassan menjadi pilihan untuk ditayangkan.

Begitu juga dengan lagu. Lagu-lagu rakyat yang sememangnya kaya dengan nilai-nilai murni akan dijadikan pilihan dalam pemupukan sahsiah mulia seseorang kanak-kanak itu.

Tidak sekadar dilengkapi kemudahan, tetapi pelbagai program telah dianjurkan merangkumi teknik meneroka maklumat dan sebagainya.

Justeru, tidak menghairankan apabila konsep PHKK@PNM berjaya menarik minat kanak-kanak dan dari 1994 hingga Ogos tahun ini, seramai 652,038 kanak-kanak telah menggunakan perkhidmatan itu.

"Bagi mencelikkan kanak-kanak ini dengan penggunaan komputer, kami telah mengadakan aktiviti seperti Kem Komputer sejak tahun 1995 lagi dan kini ia dikenali sebagai Kem Remaja Siber.

"Penginapan turut disediakan dan mereka akan didedahkan dengan penggunaan komputer, Internet sepanjang kem itu,"katanya.

Antara program yang dijalankan seperti Bersama Meneroka Maklumat Digital, Infohunt, Jom Karang dari Internet, Kuiz Rukun Negara, Kuiz 1Malaysia, Kuiz Merdeka dan yang lain. — BERNAMA

1 comment:

alicethomas said...

Thanks a lot for sharing and I have some special things for you. If you are in free time, free online brain games will be a perfect choice we recommend to you. With nice graphic style, high-quality interface and smooth animation, this game don’t let you be disappointed for sure.
Beside, you can try stickman army games, it is an addictive game which receives much love from players over the world. Now, you can completely play this addicting fun game on your mobile. Have fun!!!!