Wednesday, July 22, 2009

YAYASAN 1 MALAYSIA

Yayasan 1Malaysia
Beberapa bulan yang lalu saya telah bertemu dengan dua orang tokoh masyarakat Malaysia yang amat disegani, Dr. Chandra Muzaffar dan Tan Sri Lee Lam Thye untuk membincangkan penubuhan satu organisasi yang dapat melambangkan semangat 1Malaysia.

Semalam, saya amat gembira mendapati bahawa Yayasan 1Malaysia dan Lembaga Pemegang Amanahnya telah diperkenalkan secara rasminya kepada media. Saya telah diundang untuk menjadi penaung Yayasan tersebut, satu penghormatan yang saya terima dengan bangganya.

Saya mempunyai kepercayaan penuh bahawa di bawah kepimpinan Dr. Chandra, Tan Sri Lee, dan Pemegang-pemegang Amanah yang lain (Dato’ Sri Idris Jala, Prof. Dato’ Dr. Ismail Ibrahim, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Profesor Emeritus Dato’ K.J. Ratnam, Dr. Mahani Zainal Abidin dan Dato’ Sri Tony Fernandes) – kesemuanya merupakan wakil masyarakat Malaysia yang sangat terkenal dan dihormati - Yayasan ini akan mampu memberikan khidmatnya kepada rakyat dengan baiknya dalam menyampaikan mesej 1Malaysia. Saya berbesar hati untuk menyertai inisiatif yang akan mereka laksanakan dan berharap anda juga akan memberikan sokongan kepada Yayasan ini dalam usaha mereka untuk menggalakkan perpaduan nasional dan kemajuan masyarakat madani.


Datuk Seri Najib Tun Razak

No comments: